Manurut pakar motivasi, antara tips untuk memajukan diri
adalah dengan cara MENCABAR DIRI.Menurut Dr. Tengku Asmadi, langkah-langkah
untuk mencabar diri adalah seperti berikut:
1. Letakkan Sasaran Yang Tinggi
Apabila satu matlamat dicapai maka teruslah menetapkan
matlamat baru yang lebih tinggi lagi. Misalnya, dulunya sebagai seorang pelajar
kita sering dapat nombor yang tercorot dalam kelas maka letaklah matlamat untuk
meletakkan nama kita dalam 10 pelajar terbaik. Cabar diri untuk berusaha
bersungguh-sungguh mencapai sasaran itu. Kalau satu hari kita berjaya
merealisasikannya, maka mula letakkan sasaran baru untuk jadi pelajar nombor 1
pula. Kalau kita seorang usahawan maka letakkan sasaran untuk mengembangkan
perniagaan kita ke seluruh pelusuk negeri bukan sekadar berniaga setempat
sahaja. Kalau sasaran itu dicapai, cabar diri dengan sasaran baru untuk
mengembangkan perniagaan ke seluruh negara dan tidak mustahil selepas itu
sampai ke peringkat antarabangsa pula. Sasaran yang tinggi ini sentiasa
membuatkan kita memandang ke depan. Hasilnya, tanpa kita sedari kita semakin
hari semakin maju dalam bidang yang kita ceburi tersebut.
2. Cemburu Dengan Kejayaan Orang Lain
Lihat mereka yang lebih berjaya dari kita. Kalau orang lain
boleh kita juga boleh. Untuk maju kita mesti cemburu dengan kejayaan orang lain
dan cabar diri kita untuk berusaha lebih dari orang lain. Kalau kita tidak tahu
bagaimana mahu melakukannya maka belajarlah dari mereka yang telah berjaya. Buka
mulut dan bertanya. Jangan sekadar berdiam diri kerana tiada apa yang berlaku
kalau kita tidak bertindak. Baca kisah-kisah kejayaan orang lain, hayati
bagaimana mereka menghadapi cabaran dan menyusuri liku-liku kepayahan sebelum
nama mereka tersohor. Sikap cemburu dengan kejayaan orang lain ini mestilah
ditanam untuk membentuk suatu persaingan yang sihat bukannya cemburu yang
membawa kepada sifat dengki dan irihati yang membuatkan kita mengambil
langkah-langkah buruk menjatuhkan saingan kita.
Perasaan cemburu ini patut terbit lebih-lebih lagi apabila
mereka yang lebih lemah, lebih muda, dan kurang upaya dari kita mampu mencapai
satu pencapaian yang luar biasa.
Saudara Abdul Halim, seorang yang kudung kaki dan tangannya
tetapi boleh belajar masuk universiti, keluar sebagai akauntan, buka syarikat
sendiri dan pernah terima anugerah daripada PM Malaysia. Tak cemburukah kita?
3. Elakkan Dari Sikap Cepat Puashati
Sikap cepat berpuashati adalah penyakit yang menghalang diri
kita untuk terus berjaya. Apabila kita sudah meraih pendapatan RM10,000 sebulan
kita mula rasa selesa dan kita berkata, “Aku ni kira oklah, berapa kerat sangat
orang yang meraih pendapatan lima angka sebulan. Sekurang-kurangnya dah ada
rumah sendiri berapa ramai lagi orang yang tidak mampu beli rumah. Kira ok lah
aku ni… ”. Sikap puashati beginilah yang membuatkan kita berhenti untuk
berusaha dan mencipta kejayaan yang lebih besar lagi. Kenapa tidak kita ambil
contoh orang yang lebih berjaya dari kita? Kenapa sering membandingkan diri
dengan orang yang lemah dan kurang dari kita? Bandinglah dengan mereka yang
lebih berjaya, yang memiliki bangunan sendiri, yang menjadi jutawan, yang
berkereta mewah, yang memiliki rumah-rumah untuk disewakan dan sebagainya maka
barulah tercabar bahawa kita belum lagi OK! Jadi, usah lagi berpuashati dengan
pencapaian kita kerana setiap kali kita berjaya maka kita pasti boleh pergi
lebih jauh lagi.
4. Soal Diri Dengan Soalan Positif
Untuk berjaya, soal diri dengan soalan-soalan yang positif.
Misalnya, soalan-soalan seperti berikut hanya membawa diri kita untuk merasa
lemah dan tidak berdaya:
Kenapalah aku gagal?
Mengapa nasib aku sentiasa malang?
Kenapalah orang semua tak suka aku?
Apalah nak jadi dengan aku ni?
Sebaliknya soalan-soalan berikut pula akan membuatkan kita
berfikir, mencabar diri dan membolehkan kita mengumpul kekuatan untuk atasi
setiap halangan.
Apa yang belum aku lakukan lagi?
Bagaimana aku nak tingkatkan 20% lagi pendapatan aku bulan
depan?
Apakah kelebihan diri aku yang belum aku bongkar lagi?
Dimana aku nak dapatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk
maju dalam bidang ini?
Siapa yang boleh bantu aku?
Jadi kita tidak berjaya kerana bertanyakan soalan yang salah
kepada diri kita. Oleh itu berhati-hatilah dengan suara hati. Nilai betul-betul
soalan yang kita tanyakan pada hati kita adakah ia akan mencabar kita untuk
terus maju atau hanya melemahkan kita.
5. Tingkatkan ‘Standard’ Anda
Untuk berjaya kita kena cabar diri untuk tingkatkan ‘standard’
kita. Misalnya, kita berkata pada diri kita bahawa tidak ‘standard’lah untuk
selama-lamanya jadi kerani, 5 tahun dari sekarang mesti nak jadi pengurus pula.
Tidak ‘standard’ lah untuk selama-lamanya bekerja dengan orang, 10 tahun dari
sekarang mesti jadi bos pula. Tidak ‘standard’ lah selama-lamanya dapat markah
‘C’, 3 bulan dari sekarang aku mesti dapat ‘A’ pula. Tidak ‘standard’ lah asyik
bawa kereta Jepun aje, 5 tahun dari sekarang aku mesti nak bawa kereta Jerman
pula. Tidak ‘standard’ lah untuk berumah teres sahaja, 10 tahun dari sekarang
aku mesti nak ada rumah banglo pula.
Tujuannya bukan untuk menunjuk-nunjuk atau untuk takbur
tetapi untuk membuatkan kita mahu berusaha lebih gigih lagi demi memenuhi
tuntutan hidup kita yang mengikut ‘standard’ baru itu. Lagi pula kita tidak
melafazkan kata-kata itu kepada orang lain tetapi kita tujukan kata-kata
tersebut hanya kepada diri sendiri sebagai satu bentuk cabaran.
Perlu diingatkan bahawa kita hanya boleh hidup dalam
‘standard’ yang lebih tinggi hanya setelah kita berjaya merealisasikan
pendapatan yang mampu menampung ‘standard’ tersebut. Jangan pula menjadi orang
yang papa asal bergaya.
Malah Islam sendiri tidak menghalang umatnya untuk hidup
selesa apabila punya kemampuan. Asal sahaja keselesaan itu tidak menghalang
kita untuk terus menjadikan hidup ini sebagai suatu ibadah yang mengningkatkan
lagi keimanan dan ketaqwaan kita. Oleh itu, teruslah cabar diri untuk berjaya
dalam hidup kita.
Selamat Mencuba!